HomeIsu tempatanPIBG SMK Maktab Sabah santuni 30 pelajar asnaf sempena Aidilfitri

PIBG SMK Maktab Sabah santuni 30 pelajar asnaf sempena Aidilfitri

Read Time:1 Minute, 28 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Seramai 30 pelajar asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maktab Sabah menerima bantuan membeli pakaian baharu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi program tahunan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Yang Dipertua PIBG Maktab Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, program itu merupakan inisiatif PIBG bagi memastikan pelajar yang kurang berkemampuan dapat merasai kegembiraan menyambut Syawal seperti rakan-rakan lain.

Beliau berkata, program itu diadakan setiap tahun khusus untuk membantu pelajar asnaf di sekolah berkenaan.

“Melalui inisiatif ini, kita mahu memastikan anak-anak SMK Maktab Sabah dapat memakai pakaian baharu ketika meraikan Hari Raya nanti.

“PIBG sentiasa menitikberatkan kebajikan pelajar terutama mereka yang memerlukan bantuan supaya mereka turut merasai kegembiraan ketika menyambut perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media pada program itu di sini pada Khamis.

Arif berkata, pelajar yang terlibat dipilih berdasarkan data sekolah termasuk pelajar yang menetap di asrama dan datang dari pelbagai daerah.

“Pemilihan dibuat berdasarkan maklumat yang ada di pihak sekolah bagi memastikan bantuan ini sampai kepada pelajar yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Arif berkata, pelaksanaan program itu merupakan antara beberapa aktiviti yang dirancang oleh PIBG sepanjang Ramadan bagi mengimarahkan bulan mulia itu.

Antara program lain yang bakal dianjurkan termasuklah aktiviti mengimarahkan surau serta program memasak bubur lambuk yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

“Setiap tahun PIBG bersama pihak sekolah akan menganjurkan beberapa program sempena Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga sekolah,” katanya.

Beliau berharap bantuan yang diberikan itu dapat menceriakan pelajar terlibat serta mengeratkan hubungan antara PIBG dan pelajar.

“Harapan kita agar pelajar yang diraikan hari ini dapat menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan bersama keluarga serta merasai keprihatinan warga sekolah terhadap kebajikan mereka,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Program ‘Bah STEM Dulu!’ perkasa minat murid terhadap bidang STEM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular