KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan mengenal pasti keperluan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pulau Gaya, di sini bagi memperkukuh pendidikan agama dalam kalangan masyarakat setempat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan keperluan tenaga pengajar agama di kawasan berkenaan dapat dipenuhi.
Beliau berkata, kemudahan bangunan kelas KAFA di Pulau Gaya sudah disediakan oleh Ahli Parlimen kawasan berkenaan dan usaha seterusnya adalah mengenal pasti jumlah guru yang diperlukan.
“Saya melihat Ahli Parlimen di sini sudah menyediakan bangunan kelas KAFA dan ini satu perkara yang sangat baik.

“Kita akan berbincang dengan JAKIM untuk melihat keperluan guru KAFA serta keperluan guru takmir supaya pendidikan agama di kawasan ini dapat diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program ziarah dan penyampaian sumbangan kepada masjid, surau serta golongan asnaf di Pulau Gaya di sini pada Sabtu.
Arifin berkata, program berkenaan akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), JHEAINS dan JAKIM.
“Kita juga merakamkan penghargaan kepada Yayasan Tun Raha yang turut menyumbang naskhah al-Quran untuk kegunaan masyarakat di sini.
“Mudah-mudahan sumbangan ini memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin yang juga Exco Agama berkata MUIS melalui Bahagian Zakat turut menyalurkan bantuan kewangan kepada institusi masjid dan surau di kawasan berkenaan.
“Setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM5,000 manakala surau menerima RM3,000.
“Kita juga menyediakan bantuan kepada golongan asnaf selain akan berbincang dengan Ahli Parlimen untuk mengenal pasti masjid dan surau yang memerlukan kerja pembaikan,” katanya.
Beliau berkata usaha mengenal pasti keperluan baik pulih rumah ibadat itu dipermudahkan melalui program ziarah yang membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat terus daripada pengerusi masjid, surau serta ketua adat di kawasan berkenaan.
Menurutnya, terdapat lebih 10 masjid dan surau di Pulau Gaya yang menerima manfaat daripada program tersebut.
Tambah beliau, JHEAINS dan MUIS juga merancang untuk melaksanakan lebih banyak program penghayatan Islam di kawasan itu bagi memperkukuh syiar Islam dalam kalangan masyarakat setempat.



