HomeUtamaKerajaan terus lindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak global

Kerajaan terus lindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak global

Read Time:1 Minute, 52 Second

PUTATAN: Kerajaan Madani terus melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk TS Mustapha Sakmud.

Beliau menjelaskan dunia ketika ini sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan ketegangan di Timur Tengah, yang lazimnya menyebabkan harga minyak dunia melonjak dan kesannya turut dirasai oleh Malaysia.

Menurutnya, sebagai negara pengeluar minyak melalui Petronas, Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak, namun pada masa sama peningkatan kos dalam rantaian tenaga serta beban subsidi bahan api juga boleh meningkat dan memberi tekanan kepada ekonomi negara.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat, namun menghadapi cabaran global hari ini memerlukan kerajaan dan rakyat bergerak sebagai satu pasukan dalam sebuah Negara Malaysia yang berdaulat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pengamal media Sabah di sini pada Sabtu.

Mustapha (dua dari kanan) bersama pengamal media. Foto Sabah Media / Alexter Rosalia

Mustapha berkata kerajaan Madani terus melindungi rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI MADANI.

Katanya, harga pasaran sebenar RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.67 seliter, namun kerajaan menanggung perbezaannya supaya rakyat tidak terbeban.

“Kerajaan kini menanggung sekitar RM3.2 bilion setiap bulan untuk subsidi petrol dan diesel, iaitu kira-kira RM2 bilion bagi RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel. Ini membuktikan komitmen besar kerajaan dalam melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi global,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan Madani juga mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak demi memastikan kos pengangkutan, logistik serta keperluan harian rakyat di kedua-dua wilayah tersebut tidak meningkat secara mendadak.

“Langkah ini penting bagi melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan yang bergantung kepada pengangkutan darat dan laut untuk bekalan barangan,” katanya.

Mustapha berkata jika dibandingkan dengan negara jiran di ASEAN, Malaysia masih antara negara yang menawarkan harga petrol paling rendah.

“Di Thailand, harga petrol boleh mencecah sekitar RM4 seliter, di Indonesia sekitar RM3 hingga RM3.50 seliter, manakala di Singapura boleh melebihi RM8 hingga RM10 seliter,” jelasnya.

Beliau turut menyeru rakyat memahami realiti ekonomi semasa dan menggunakan subsidi secara lebih berhemah.

“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kita perlu kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, dan terus bersatu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan teliti impak kenaikan kos haji, TH sedia pelan persediaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular