KOTA KINABALU: Sabah FC terus dibelenggu kemarau kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Imigresen FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Sabah kini gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir liga, dengan kali terakhir mereka mencatat kemenangan apabila menewaskan Terengganu 3-1 pada 23 Disember lalu.
Sabah bagaimanapun mempamerkan permulaan meyakinkan apabila penyerang kebangsaan, Darren Lok, membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi tolakan kaki kanan dari jarak dekat selepas memanfaatkan peluang di hadapan gawang pelawat.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Imigresen berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-75.
Gol berkenaan terhasil menerusi sepakan penalti oleh Wilmar Jordan Gil selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan pertahanan Sabah, Chris Ondong Mba, di dalam kotak penalti.
Pasukan pelawat kemudian mengejutkan tuan rumah apabila Fayadh Zulkifli menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 hasil gerakan individu di bahagian kiri sebelum menewaskan penjaga gol Sabah.
Perlawanan turut diwarnai kontroversi apabila jaringan penyamaan Sabah oleh Dean Pelekanos dibatalkan pengadil selepas semakan VAR, walaupun pemain itu dilihat melakukan sepakan penjuru yang terus menerjah ke gawang Imigresen.
Keputusan itu menyaksikan Imigresen melonjak ke tangga ketujuh liga dengan 21 mata daripada 19 perlawanan, manakala Sabah kekal di tangga ke-10 dengan 15 mata. SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC



