Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Penganjuran Program Simfoni Ramadan disifatkan sebagai satu inisiatif bermakna yang berjaya menghimpunkan elemen ilmu, kesenian dan kreativiti dalam usaha mendekati masyarakat khususnya golongan muda.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi pengisian ilmu, malah menampilkan elemen seni dan kreativiti yang mampu menarik minat generasi muda di Sabah.
Beliau berkata, program seumpama itu wajar diteruskan dan diperluaskan di beberapa lokasi lain pada masa akan datang agar lebih ramai masyarakat berpeluang menyertainya.
“Alhamdulillah, hari ini saya mewakili Ketua Menteri dalam program Simfoni Ramadan yang diadakan di sini. Program ini sangat cantik dan bermakna kerana menghimpunkan pelbagai elemen ilmu selain turut menampilkan seni dan kreativiti.
“Ia satu program yang baik terutama untuk dipertontonkan kepada anak-anak muda kita di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir merasmikan Majlis Simfoni Ramadan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.
Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan dan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Isnin berkata, program berkenaan juga wajar diperbanyakkan di peringkat daerah bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda menyertai dan merasai sendiri pengisian program tersebut.
“Program seperti ini memang perlu dikekalkan pada masa akan datang dan kalau boleh kita adakan juga di peringkat daerah supaya lebih ramai dapat menikmatinya,” katanya.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, beliau berasa gembira melihat sambutan yang begitu meriah terhadap program Simfoni Ramadan yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Menurutnya, kehadiran majoriti golongan muda dalam program berkenaan menunjukkan pendekatan yang menggabungkan dakwah dengan elemen seni dan kreativiti berjaya menarik minat generasi baharu.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat berbahagia melihat program ini berlangsung dengan begitu meriah. Yang menariknya, majoriti peserta yang hadir adalah golongan muda dan semangat itu turut kami rasai bersama,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran program itu turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Menurutnya, penganjuran tahun ini juga berbeza apabila lokasi program dipindahkan ke Kota Kinabalu selepas dua tahun diadakan di Sandakan.
“Pada 2024 dan 2025 program ini diadakan di Sandakan, manakala tahun ini kita bawakan ke Kota Kinabalu. Kita juga melihat pengisian program lebih pelbagai dengan gabungan penceramah muda dan lama serta pelbagai persembahan yang berlangsung sejak awal pagi hingga malam,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut diteruskan dengan beberapa aktiviti lain termasuk program singgah sahur dan Ziarah Kasih Madani di Hospital Queen Elizabeth.
Tambahnya, Simfoni Ramadan tahun ini membawa tema “Sebarkan Salam” yang mengajak masyarakat menyebarkan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat.
Dalam masa sama, beliau berkata pihaknya turut berhasrat untuk memperluaskan program berkenaan ke Semenanjung pada masa hadapan.
“Impian kita memang besar, kita mahu bawa program ini ke Semenanjung dan memperluaskannya ke tempat lain. Tetapi ia memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH



