HomeUtamaCuaca tidak menentu di Sabah sepanjang Aidilfitri

Cuaca tidak menentu di Sabah sepanjang Aidilfitri

Read Time:1 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Cuaca di Sabah dijangka mengalami hujan serta ribut petir pada beberapa waktu sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri berdasarkan ramalan khas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia dalam ramalan yang bermula 20 hingga 22 Mac itu menjangkakan Sabah akan mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan dan ribut petir terutama pada sebelah petang dan malam.

Pada 20 Mac, kebanyakan kawasan di Sabah dijangka mengalami hujan pada waktu pagi, diikuti ribut petir pada sebelah petang sebelum hujan berterusan pada waktu malam.

Sementara itu pada 21 Mac, keadaan cuaca dijangka lebih baik dengan cuaca cerah pada waktu pagi dan petang, namun hujan masih berpotensi berlaku pada waktu malam di beberapa kawasan.

Bagi 22 Mac, cuaca pada sebelah pagi dijangka cerah, namun ribut petir berpotensi berlaku pada waktu petang sebelum keadaan kembali hujan pada waktu malam.

Menurut MetMalaysa, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan ramalan cuaca semasa dan merancang perjalanan serta aktiviti Aidilfitri dengan mengambil kira kemungkinan hujan.

Keadaan cuaca tidak menentu ini juga dijangka memberi kesan kepada aktiviti ziarah, perjalanan pulang ke kampung serta sambutan rumah terbuka yang lazimnya diadakan sepanjang musim perayaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman rasmi serta aplikasi mudah alih yang disediakan oleh MetMalaysia bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aktiviti sepanjang sambutan Aidilfitri.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai diminta tidak manipulasi fakta berhubung isu tangkapan pelajar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular