HomeUtamaKerajaan perkasa inisiatif ringankan beban rakyat sempena Aidilfitri

Kerajaan perkasa inisiatif ringankan beban rakyat sempena Aidilfitri

Read Time:1 Minute, 51 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperhebat usaha meringankan beban rakyat sempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri melalui pelbagai inisiatif menyeluruh termasuk pemberian diskaun tol 50 peratus, bantuan kewangan serta kawalan harga barangan keperluan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah berkenaan diambil susulan ketidaktentuan ekonomi global yang memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, antara inisiatif utama termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 14 hingga 28 Mac 2026 serta bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada 10 Mac lalu.

“Seramai 5.2 juta penerima mendapat manfaat STR melibatkan peruntukan RM1.3 bilion, selain Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran termasuk lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja serta guru KAFA dan takmir,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperluas subsidi tiket penerbangan menerusi program FLYsiswa sebanyak RM400, selain melaksanakan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi pada harga berpatutan.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan turut menguatkuasakan larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan manfaat subsidi dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya sebagai usaha mengurangkan kos perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol,” katanya.

Menurutnya, diskaun tersebut berkuat kuasa bermula jam 12.01 tengah malam, 18 Mac hingga 11.59 malam, 19 Mac 2026, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan pelepasan kebankrapan secara ‘Fast Track’ melibatkan kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal.

Anwar berkata semua langkah berkenaan mencerminkan nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat kemakmuran negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat agar berbelanja secara berhemah sepanjang menyambut Syawal serta mengurus kewangan dengan disiplin dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

“Mewakili Kerajaan MADANI, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kesalahan berulang syabu, buruh dipenjara 12 tahun dan 5 sebatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular