KOTA KINABALU: Orang ramai diminta tidak memanipulasi fakta berhubung isu penangkapan seorang pelajar sekolah alternatif di negeri ini yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, yang kini tular di media sosial.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Azrul Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat termasuk rekod Kad Vaksinasi pada 2020, individu terbabit dianggarkan berusia sekitar 19 tahun.
Beliau berkata, rekod itu menunjukkan pelajar berkenaan berumur 13 tahun pada tahun berkenaan, sekali gus menafikan naratif sesetengah pihak yang mendakwa individu tersebut masih berstatus kanak-kanak.
Pada masa sama katanya, dakwaan bahawa individu terbabit berasal daripada komuniti Bajau Laut juga tidak dapat dimuktamadkan setakat ini.
“Ketiadaan dokumen rasmi menjadikan soal identiti termasuk latar belakang bangsa atau kewarganegaraan sebagai sesuatu yang kompleks dan hanya boleh ditentukan melalui proses siasatan oleh pihak berkuasa.
“Justeru, isu berkenaan perlu dilihat berasaskan fakta serta peruntukan undang-undang, bukan sentimen atau naratif yang dibina tanpa asas kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Dalam pada itu Azrul berkata, tindakan mengaitkan serta memanipulasi kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengenai perlindungan kepada komuniti Bajau Laut bagi memutarbelitkan fakta kes berkenaan juga disifatkan tidak wajar.
Menurutnya, prinsip perlindungan kepada mana-mana komuniti, tidak pernah bermaksud undang-undang negara boleh diketepikan.
“Dalam mana-mana negara berdaulat, dokumen pengenalan diri merupakan asas penting dalam pentadbiran undang-undang serta keselamatan negara.
“Kes seperti ini juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan tindakan terhadap individu yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,”‘katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, isu hak asasi manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatasi atau mengabaikan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, Azrul berkata, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional serta menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Kes ini perlu ditangani dan diadili mengikut lunas undang-undang negara,”katanya.



