KOTA KINABALU: Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah (PADUNEGERI) berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, platform itu membolehkan pelbagai pihak berkepentingan membincangkan isu yang timbul dalam kalangan masyarakat selain merangka langkah proaktif bagi memastikan perpaduan terus terpelihara.
“Platform seperti PADUNEGERI membolehkan kita membincangkan isu yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keharmonian dan persefahaman terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pertama PADUNEGERI Sabah bagi tahun ini di sini, pada Isnin.
Menurutnya, usaha memperkukuh perpaduan tidak boleh digalas sepenuhnya oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), sebaliknya memerlukan kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan, rakan strategik serta kepimpinan di peringkat akar umbi.
“Tanggungjawab memperkukuh perpaduan tidak terletak pada satu agensi sahaja. Ia juga perlu disokong oleh rakan strategik, pemegang taruh serta kepimpinan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau menjelaskan PADUNEGERI berfungsi sebagai forum bagi membincangkan isu berkaitan perpaduan, menjelaskan perkara semasa yang timbul di peringkat komuniti serta mencadangkan inisiatif bagi terus memupuk keharmonian masyarakat.
Jawatankuasa itu dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta pemegang taruh yang terlibat dalam inisiatif perpaduan, dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah bertindak sebagai sekretariat.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datuk Maria Chong; serta Pengarah JPNIN Sabah, Rina Ab Harun.



