Oleh Normimie Diun
TAWAU: Hubungan antara komuniti setempat dan industri perlombongan emas di Balung terus diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas kepada penduduk tempatan.

Presiden Komuniti Cocos Sabah, Alipa Jackery berkata, penglibatan beliau dalam program CSR yang dilaksanakan oleh Wullersdorf Resources Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh AuMas Resources Berhad, bermula kira-kira tiga tahun lalu selepas diperkenalkan kepada pihak pengurusan syarikat.

Menurutnya, sebelum itu masyarakat kampung khususnya di Balung kurang mengetahui perkembangan sebenar aktiviti perlombongan walaupun lokasi berkenaan terletak berhampiran laluan masuk ke kawasan lombong.
“Pada peringkat awal, masyarakat setempat tidak mengetahui secara jelas apa yang berlaku di dalam kawasan lombong. Namun selepas diperkenalkan kepada pihak pengurusan dan diberi peluang melawat tapak operasi, persepsi itu mula berubah,” katanya ketika ditemui Sabah Media.
Beliau berkata, hubungan tersebut mula diperkukuh apabila pihak syarikat menyokong penganjuran program Iftar Ramadan anjuran Persatuan Etnik Cocos Sabah.

Katanya, program itu diadakan setiap tahun dan memberi manfaat kepada golongan asnaf, warga emas serta orang kurang upaya di Balung, yang sebahagian besarnya terdiri daripada komuniti lama sejak penempatan awal sekitar tahun 1948.
Susulan itu, kerjasama diteruskan melalui penganjuran program khidmat kesihatan (Medical Camp) yang menyediakan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk dengan penglibatan tenaga perubatan dari dalam dan luar daerah.
“Program ini turut merangkumi bantuan keperluan asas serta pemeriksaan khusus seperti kesihatan mata, sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata pendekatan syarikat yang memberi penerangan secara terbuka mengenai operasi perlombongan kepada pemimpin komuniti telah meningkatkan tahap kefahaman masyarakat.
“Apabila penerangan diberikan secara langsung oleh pakar dan pihak pengurusan, ia membantu mengurangkan salah faham serta persepsi negatif terhadap industri ini,” katanya.
Baru-baru ini, Wullersdorf Resources Sdn Bhd turut meneruskan komitmen CSR melalui penganjuran Program Kasih Ramadan 2026 bersama komuniti Kampung Ranggu.
Dalam program tersebut, syarikat yang diwakili Pengerusi AuMas Resources Berhad, Dr Frederick Chong menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM5,000 bagi membantu pembinaan bilik musafir di Masjid Sri Ranggu.
Sumbangan itu diharap dapat meningkatkan kemudahan kepada para musafir serta jemaah yang singgah beribadah di masjid berkenaan.
Majlis penyerahan sumbangan itu turut dihadiri pemimpin komuniti setempat termasuk Ketua Kampung Andrassy, Wellin @ Wilson, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dahu Tass dan Napasit Bunidu, Ketua Kampung Ranggu, Zaini Abidin serta Pengerusi Masjid Ranggu.
Mengulas lanjut, Alipa yang juga anak jati Balung berkata beliau melihat potensi besar pembangunan ekonomi setempat termasuk dalam sektor keusahawanan dan pertanian moden.
Menurutnya, kewujudan operasi perlombongan emas yang menggaji kira-kira 450 pekerja turut membuka peluang kepada penduduk tempatan dalam sektor pekerjaan dan perniagaan sokongan seperti penyediaan makanan serta peruncitan.
Sementara itu, Pengurus Besar Wullersdorf Resources Sdn Bhd, Adji Prihananto berkata pihaknya komited memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat seiring perkembangan operasi perlombongan di Bukit Mantri.
Beliau berkata, selepas tujuh tahun beroperasi berhampiran Kampung Balung, pihak pengurusan kini giat memperluas penglibatan komuniti khususnya dalam bidang sumber manusia, pembangunan rantaian bekalan dan perkhidmatan sokongan.
“Usaha ini turut membuka peluang kepada kontraktor tempatan untuk mengusahakan kemudahan seperti kantin, premis runcit dan pasar mini bagi memenuhi keperluan kira-kira 450 tenaga kerja,” katanya.



