HomeUtamaBekalan beras Sabah mencukupi, pengguna tidak perlu panik – Jamawi

Bekalan beras Sabah mencukupi, pengguna tidak perlu panik – Jamawi

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan bekalan beras di Sabah adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik susulan laporan kekurangan stok di beberapa daerah pedalaman.

Beliau berkata, setakat ini stok simpanan beras negeri mampu menampung keperluan rakyat sehingga enam bulan.

“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong serta bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memantau rapi kedudukan bekalan makanan asas dan menasihatkan orang ramai agar kekal bertenang.

Beliau turut memaklumkan bahawa arahan telah dikeluarkan supaya penghantaran bekalan beras putih import (BPI) pada harga mampu milik dipercepatkan dengan kuantiti besar ke Keningau, Sook, Tenom, Kemabong dan Sipitang.

“Saya menyeru orang ramai supaya mengelakkan pembelian panik. Bekalan akan kembali stabil seperti biasa,” katanya.

Seawal pagi kelmarin, Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Dr Ramle Kasin bersama pegawai BERNAS Sabah telah menjalankan pemantauan di Pusat Simpanan Kolombong dan mendapati bekalan beras berada pada tahap stabil serta mencukupi.

Tinjauan pagi ini pula menunjukkan bekalan beras telah mula diedarkan ke premis-premis peruncit di Tenom, Kemabong, Sook dan Keningau.

Di Tenom sahaja, sebanyak 53 tan beras telah dipasarkan melalui pengedar BERNAS, melibatkan 30 tan oleh PPK Tenom dan 23 tan oleh Sazarice.

Secara keseluruhan, pergerakan stok beras ke daerah Tenom ketika ini menunjukkan bekalan adalah mencukupi, hasil kerjasama pemborong yang telah menghantar bekalan ke beberapa premis sekitar daerah berkenaan.

Tinjauan juga mendapati situasi pembelian panik sebelum ini telah reda dan kembali terkawal.

Keperluan bekalan beras bulanan di kawasan terlibat dianggarkan sebanyak 470 tan metrik (MT), bersamaan kira-kira 16 MT sehari. Setakat hari ini, sebanyak 70 MT atau 15 peratus daripada keperluan bulanan telah dihantar, melebihi keperluan harian.

RELATED ARTICLES
Utama

15 kek Aidilfitri dikongsi bersama rumah kebajikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular