Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kapasiti rumah kebajikan yang terhad dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyukarkan usaha menempatkan golongan gelandangan secara berterusan di bandar raya ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, meskipun tindakan mengesan dan memindahkan gelandangan ke pusat perlindungan sentiasa dilakukan, namun ruang yang terhad menyebabkan penempatan hanya dapat dibuat dalam tempoh singkat.

Menurutnya, situasi itu mengakibatkan sebahagian daripada golongan berkenaan terpaksa dilepaskan semula selepas beberapa hari, sekali gus menyebabkan isu berulang.
“Rumah kebajikan yang ada tidak mampu menampung jumlah gelandangan yang semakin bertambah, menyebabkan penempatan jangka panjang sukar dilaksanakan.
“Selain itu, tahap kerjasama dalam kalangan gelandangan sendiri turut menjadi cabaran apabila ada yang enggan ditempatkan di pusat perlindungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama media di sini pada Selasa.
Majlis itu turut dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.
Sabin berkata, faktor sokongan keluarga yang terhad turut menyumbang kepada kesukaran menangani isu itu secara menyeluruh, apabila terdapat ahli keluarga yang tidak mahu menerima kembali individu terbabit.
Justeru katanya, usaha memperluas kapasiti rumah kebajikan serta meningkatkan kerjasama pelbagai pihak dilihat penting bagi memastikan kebajikan golongan gelandangan terus terpelihara, di samping mengurangkan gangguan kepada masyarakat setempat.
Terdahulu, Sabin berkata, penganjuran majlis itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pihak media yang memainkan peranan penting dalam membantu DBKK menyalurkan maklumat kepada orang awam, termasuk penduduk setempat dan pelawat.
Menurutnya, media bukan sahaja menjadi medium penyampaian maklumat rasmi, malah turut membantu menyalurkan pelbagai aduan serta rungutan masyarakat berkaitan isu perbandaran.
“Pihak media banyak membantu kami melaporkan aduan orang ramai termasuk kerosakan kemudahan awam dan isu kebersihan di pelbagai lokasi yang kadangkala tidak sempat dipantau oleh pihak DBKK,” katanya.
Tambahnya, kerjasama itu amat penting khususnya dalam menangani isu kebersihan bandar termasuk peningkatan jumlah sampah yang ketara, terutama menjelang musim perayaan.
Sehubungan itu, Sabin merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media yang disifatkan sebagai rakan strategik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada masyarakat. – SABAH MEDIA



