HomeUtamaMahkamah benarkan ibu Zara jadi pihak berkepentingan dalam semakan kehakiman

Mahkamah benarkan ibu Zara jadi pihak berkepentingan dalam semakan kehakiman

Read Time:3 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina Mahathir, untuk menjadi pihak berkepentingan dalam permohonan semakan kehakiman yang bertujuan untuk membatalkan inkues berhubung kematian anaknya.

Permohonan itu dibuat terhadap permohonan kebenaran (leave) bagi semakan kehakiman yang difailkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid, membuat keputusan itu selepas membaca hujah bertulis daripada pihak Noraidah dan Pembela serta penjelasan lisan daripada Pembela.

Mahkamah turut memerintahkan Pembela untuk menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada Noraidah pada hari ini dan esok.

Mahkamah menetapkan e-review 26 Mac untuk arahan lanjut.

Noraidah yang dinamakan sebagai ‘interested person’ telah memfailkan permohonan itu pada Januari tahun ini. Pembela adalah pemohon manakala Peguam Negara serta Mahkamah Sesyen Koroner masing-masing dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonannya, Noraidah memohon leave untuk didengar semasa pendengaran permohonan semakan kehakiman Pembela, termasuk pada peringkat leave, atas alasan beliau terjejas secara langsung dan negatif oleh hak yang dimohon melalui semakan kehakiman tersebut.

Beliau juga memohon untuk dibenarkan menentang permohonan leave semakan kehakiman Pembela dan mana-mana permohonan substantif yang timbul daripadanya.

Selain itu, beliau memohon leave untuk memfailkan afidavit sokongan, hujahan bertulis dan argumen ringkas (skeletal arguments) yang diperlukan untuk penyelesaian semakan kehakiman secara adil, serta mana-mana perintah lanjut atau bersangkutan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam Afidavit Sokongan beliau, Noraidah, 45, menyatakan bahawa beliau adalah waris terdekat si mati, yang kematiannya menjadi subjek inkues yang ingin dibatalkan.

Beliau berhujah bahawa beliau mempunyai kepentingan langsung, sah dan ketara dalam perjalanan, kelanjutan dan keputusan inkues tersebut.

Afidavit itu juga menegaskan bahawa Pembela tidak mempunyai kepentingan langsung, tidak terjejas secara negatif dan adalah pihak luar dalam inkues, serta permohonannya untuk leave semakan kehakiman telah tamat tempoh (time-barred).

Hak yang dimohon oleh Pembela, iaitu untuk membatalkan atau menolak keseluruhan inkues, boleh menjejaskan hak statutori beliau untuk mendapatkan inkues yang lengkap, sah dan sewajarnya terhadap sebab kematian anaknya.

Mengikut Perintah 53 Peraturan 8(1), mahkamah mempunyai budi bicara untuk mendengar mana-mana individu yang layak jika penyertaannya perlu untuk keadilan, walaupun individu tersebut tidak menerima dokumen kes (cause papers).

Noraidah selanjutnya menyatakan bahawa adalah kepentingan keadilan, kesaksamaan dan keadilan semula jadi supaya beliau didengar sebelum sebarang perintah yang menjejaskan inkuiri dipertimbangkan.

Zara, seorang pelajar Tingkatan Satu, ditemui tidak sedarkan diri di asramanya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Inkues Zara bermula pada 3 September 2025 dan seramai 64 orang saksi telah dipanggil. Prosiding inkues akan bersambung semula pada 31 Mac.

Manakala dalam permohonan Pembela pada 21 November tahun lalu, NGO itu menamakan Peguam Negara dan Mahkamah Sesyen Koroner masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Pembela memohon leave untuk membatalkan dan/atau menolak keseluruhan prosiding inkues, serta pengisytiharan bahawa prosiding inkues antara Polis Diraja Malaysia (PDRM Papar) dan Zara Qairina harus dan mesti dijalankan di bawah Ordinan Inkuiri 1959.

NGO itu juga memohon perintah untuk membatalkan keputusan Peguam Negara yang mengarahkan Mahkamah Sesyen Koroner mengadakan prosiding inkues di bawah Seksyen 339(1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Sebagai alternatif, sekiranya Mahkamah tidak bersetuju dengan permohonan semakan kehakiman, pemohon memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melaksanakan kuasa semakan semula (revisionary powers) di bawah Seksyen 325 CPC.

Selain itu, Pembela memohon agar kos dan kos tambahan permohonan ini dijadikan kos dalam kes, serta mana-mana perintah lanjut atau bersesuaian yang difikirkan wajar oleh Mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, Noraidah yang diwakili oleh Shahlan Jufri dan Mohd Syarulnizam Mohd Salleh.

Pembela diwakili oleh peguam Jul Hamri Jumhani. Peguam Negara diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.


RELATED ARTICLES
Utama

Warga asing tinggal lebih masa, miliki pas palsu didenda RM15,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular