HomeUtamaUMS perkasa tadbir urus tangkas, AI jadi teras transformasi 2026

UMS perkasa tadbir urus tangkas, AI jadi teras transformasi 2026

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh langkah transformasi institusi dengan menekankan tadbir urus yang lebih tangkas serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama dalam Majlis Aspirasi Pendaftar 2026 baru-baru ini.

Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar berkata, pendekatan baharu itu selaras dengan keperluan semasa yang menuntut organisasi bergerak lebih pantas, responsif dan berasaskan data dalam menghadapi perubahan global serta perkembangan teknologi.

Menurut beliau konsep ‘A New Way of Working’ diperkenalkan bagi memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan melalui pengurangan birokrasi, mempercepat proses membuat keputusan serta menggalakkan inovasi dan kolaborasi dalam kalangan warga universiti.

“Pendekatan tadbir urus yang lebih tangkas membolehkan organisasi bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan global dan teknologi, di samping meningkatkan kecekapan pentadbiran dan daya saing institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Webex dengan dihadiri lebih 1000 kakitangan pentadbiran UMS.

Dalam pada itu, Luqman turut menjelaskan kepentingan AI sebagai nadi pemboleh daya utama dalam transformasi pendidikan tinggi, meliputi aspek kurikulum, penyelidikan, tadbir urus serta pembangunan bakat.

“Semua warga universiti perlu bersedia untuk menguasai segala bentuk kemajuan teknologi, termasuk kemahiran mengumpul, menyusun dan menganalisis data untuk mencapai objektif tugasan dengan cekap dan lebih efisien,” ujarnya.

Dalam amanat yang sama, beliau juga menyeru seluruh warga UMS untuk bersama-sama mengurangkan kompleksiti kerja, mempercepat pelaksanaan serta memberi fokus kepada impak bagi merealisasikan aspirasi universiti sebagai ‘The Brain of Borneo’.

Tambah Luqman, setiap pencapaian universiti bukan sahaja disumbang oleh ahli akademik, malah melibatkan peranan besar kakitangan sokongan iaitu ‘unsung heroes’ yang menjadi tulang belakang kepada insitusi.

“Kejayaan dalam bidang akademik dan penyelidikan turut disokong oleh pelbagai lapisan warga termasuk pembantu am, pemandu, kerani, pembantu makmal, juruteknik serta pegawai pentadbiran yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

“Di sebalik setiap anugerah yang diterima, terdapat ramai individu yang bekerja keras tanpa mengharapkan pengiktirafan. Mereka inilah wira sebenar yang memastikan kelancaran operasi universiti,” ujar beliau.

Amanat turut menzahirkan komitmen UMS dalam memperkukuh kedudukan di peringkat nasional dan antarabangsa, seiring usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta kecemerlangan institusi secara menyeluruh.

RELATED ARTICLES
Utama

Sedafiat salur zakat RM445,600 kepada MUIS, bantu komuniti Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular