BEAUFORT: Majlis Khatam Al-Quran berlangsung dalam suasana penuh khusyuk di Surau Kampung Pintas Asal pada 14 Mac lalu dengan penyertaan warga kampung daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak seawal usia enam tahun.
Program berkenaan dipimpin Pengerusi Surau Kampung Pintas Asal merangkap Penyelia KAFA Membakut/Bongawan, Ustaz Mohd Nasry Masih yang mengetuai bacaan khatam bersama para peserta tadarus.
Penasihat Surau Kampung Pintas Asal, Haji Osin Jilon turut hadir dan merasmikan majlis berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa surau atas komitmen menganjurkan pelbagai aktiviti kerohanian sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mengimarahkan surau, malah berperanan mengukuhkan ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Program seperti ini juga dapat mendorong masyarakat untuk terus meningkatkan amal ibadah sepanjang Ramadan bagi meraih keberkatan dan keredaan Allah SWT,” katanya.
Pada majlis sama, peserta tadarus serta petugas turut menerima sumbangan saguhati sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penglibatan aktif mereka sepanjang bulan Ramadan.



