KOTA KINABALU: Seorang wanita warga Filipina didenda RM10,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana tinggal lebih masa di Sabah selepas pas khasnya tamat tempoh.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Jessibel Tulio Espinosa, 27, selepas dia mengaku bersalah.
Dia ditahan kerana melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Penampang pada 26 Feb lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Jessibel telah membayar denda tersebut.
Dalam kes berasingan, 15 warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh mahkamah sama atas pertuduhan berasingan memasuki negeri ini secara tidak sah.
Kesemua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa kesemua warga asing itu ditahan dalam operasi berasingan di seluruh Sabah selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Mahkamah turut memerintahkan semua mereka, yang terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia, dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Pegawai pendakwa Jabatan Imigresen, Gressia Yolanda Ismail Uvaraj, Kamrul Md Yusof dan Chin Tze Mee, mengendalikan pendakwaan kes.
Tinggal lebih masa di Sabah, warga Filipina didenda RM10,000
Read Time:1 Minute, 10 Second
RELATED ARTICLES



