HomeUtamaOps Pantau : KPDN Labuan rekod 13 kes, kompaun cecah RM3,700

Ops Pantau : KPDN Labuan rekod 13 kes, kompaun cecah RM3,700

Read Time:1 Minute, 20 Second

LABUAN : Sebanyak 13 tindakan kes dengan nilai kompaun berjumlah RM3,700 berjaya direkodkan hasil pelaksanaan Ops Pantau 2026 yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan setakat 19 Mac.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, operasi yang dilaksanakan bermula 19 Februari itu menyaksikan sebanyak 1,593 pemeriksaan premis dijalankan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kepentingan pengguna sepanjang bulan Ramadan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM477 nilai rampasan turut direkodkan. Secara keseluruhan pencapaian aktiviti penguatkuasaan KPDN Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang tempoh Januari hingga 19 Mac 2026, sebanyak 4,583 pemeriksaan premis telah dilaksanakan.

“Pemeriksaan premis itu turut merekodkan 44 tindakan kes melibatkan kompaun berjumlah RM22,000 serta nilai rampasan sebanyak RM11,716.80,” katanya dalam kenyataan di sini.

Junaidah berkata, pecahan kes menunjukkan kesalahan tertinggi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] sebanyak 29 kes dan diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] sebanyak tujuh kes.

Selain itu katanya,  kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] sebanyak lima kes, Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] sebanyak dua kes dan satu kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 34 aduan awam telah diterima dan kesemuanya berjaya diselesaikan dalam tempoh siasatan kurang daripada 14 hari.

“KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus mempergiatkan keseluruhan aktiviti penguatkuasaan serta advokasi bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan peniaga,” katanya.

Ops Pantau 2026 dijangka berakhir hari ini dan sekiranya pelaksanaan operasi ini dilanjutkan, pemantauan berterusan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

RELATED ARTICLES
Utama

Semangat Rewang suburkan ukhuwah warga UMS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular