KINABATANGAN: Sebuah bas ekspres terlibat dalam kemalangan selepas dipercayai mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba keluar simpang di Jalan Kampung Paris 2, laluan Sandakan–Lahad Datu, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, bas yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Semporna hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan di kawasan yang berumput.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Ravi Anak Lelaki Duraisamy berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal keluar secara mengejut dari simpang di sebelah kiri jalan.
Pemandu bas cuba mengelak motosikal tersebut dengan membelok ke kiri, namun hilang kawalan sebelum terbabas keluar dari jalan.
Beliau berkata, bas berkenaan membawa seramai 39 penumpang termasuk pemandu dan kesemua mereka dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan semua penumpang berada dalam keadaan baik,” katanya.



