Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kira-kira 1,500 penumpang domestik dan antarabangsa disambut meriah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, dalam usaha memperkasa Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pengarah Pejabat Kementerian, Pelancongan, Seni dan Budaya Chong Wai Kit berkata, program itu juga adalah bertujuan mempamerkan kepelbagaian seni dan budaya Malaysia khususnya di Sabah kepada pelancong yang tiba di negeri ini.
Program anjuran Tourism Malaysia itu turut dilaksanakan serentak di lapan lapangan terbang utama seluruh negara termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak dan Sarawak.

“Program ini bukan sahaja bagi meraikan ketibaan pelancong sempena Aidilfitri, tetapi juga sebagai platform memperkenalkan keunikan serta kepelbagaian budaya Malaysia bersempena VM2026.
“Kita mahu menonjolkan nilai hospitaliti Malaysia serta kemesraan rakyat dalam menyambut kehadiran pelawat ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan penumpang membabitkan enam penerbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di KKIA di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengarah Tourism Malaysia Haryanty Abu Bakar.
Chong berkata, penumpang yang tiba di KKIA melibatkan penerbangan antarabangsa dari Incheon, Korea Selatan dan Singapura, selain penerbangan domestik dari Lahad Datu serta beberapa destinasi di Semenanjung seperti Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Sibu dan Kuching.

“Kesemua penerbangan ini dijadualkan tiba antara jam 12.30 tengah hari hingga 4 petang hari ini” katanya.
Dalam pada itu, Chong turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad atas sokongan padu menjayakan program berkenaan.
Katanya, penganjuran itu juga mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuklah Sabah Tourism Board (STB) dan beberapa syarikat swasta.
Program itu turut diserikan dengan kemunculan maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, selain pelbagai persembahan kebudayaan yang mencerminkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya. – SABAH MEDIA



