RANAU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama, malah turut mempererat nilai kekeluargaan melalui pertemuan bersama sanak saudara.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, dalam kesibukan kehidupan seharian, peluang untuk berkumpul bersama ahli keluarga, termasuk mereka yang tinggal berjauhan, adalah sesuatu yang amat bermakna dan perlu dimanfaatkan sebaiknya.
“Majlis seperti Sinakagon Gorihom Om Gapaya yang dianjurkan sempena rumah terbuka ini memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan, khususnya apabila ahli keluarga dapat berkumpul dan berinteraksi dalam suasana yang harmoni dan penuh kegembiraan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ‘Sinakagon Gorihom Om Gapaya’ di Dewan Terbuka Rimbunan Hijau Residence, Kg Silou, Ranau, hari ini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penganjuran aktiviti Hari Keluarga bersama masyarakat setempat.
Joachim yang juga Wakil Rakyat Kundasang, berkata, majlis seumpama itu memberi ruang kepada setiap ahli keluarga untuk bertemu, bermaaf-maafan dan memperbaharui hubungan kekeluargaan.
“Ini bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi menjadi wadah untuk mengukuhkan ikatan antara generasi dalam keluarga,” katanya.
Tambahnya, jika tanpa pertemuan seperti ini, peluang untuk ahli keluarga saling mengenali dan mengeratkan hubungan akan menjadi lebih terbatas, khususnya bagi mereka yang tinggal jauh dan jarang berkesempatan untuk bertemu.
“Sinakagon Gorihom Om Gapaya ini mencerminkan semangat kekeluargaan yang kuat dalam kalangan masyarakat kita. Ia bukan sahaja meraikan Aidilfitri, tetapi juga menjadi simbol penyatuan keluarga dan komuniti dalam suasana yang penuh muhibah,”.
“Ini merupakan satu titik pertemuan yang sangat bermakna. Di sinilah bermulanya usaha untuk saling mengenali, memahami dan mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli keluarga,” ujarnya.
Katanya, nilai kekeluargaan yang dipupuk melalui majlis seumpama ini perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada keharmonian masyarakat secara keseluruhan.
“Amalan ziarah-menziarahi, berkongsi kegembiraan serta menghargai kehadiran ahli keluarga dalam setiap sambutan perayaan merupakan budaya yang wajar diteruskan dari generasi ke generasi.
Sehubungan itu, beliau berharap agar sambutan Hari Raya Aidilfitri terus diraikan dengan penuh kesederhanaan, kegembiraan dan semangat kekeluargaan yang kukuh, agar nilai murni ini dapat dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang.



