JOHOR BAHRU, — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor) mengambil tindakan tegas terhadap kes penyalahgunaan petrol RON95 bersubsidi selepas satu video tular memaparkan pengisian bahan api itu ke dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di sekitar Skudai, pada 21 Mac lalu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata siasatan dijalankan susulan video berkenaan yang menunjukkan sebuah kenderaan dipercayai melakukan pengisian petrol melebihi had yang dibenarkan.
Menurut beliau, pemeriksaan telah dilakukan ke atas premis terlibat termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod transaksi serta resit pembelian bagi tujuan pengesahan.
“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu ke dalam tangki kenderaan dan satu lagi ke dalam tong plastik di bahagian but dengan kuantiti melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Lilis Saslinda Pornomo lagi, pasukan penguat kuasa turut menjalankan siasatan lanjut bersama pihak pengurusan stesen minyak serta mengingatkan agar pematuhan terhadap peraturan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian berulang.
KPDN juga sedang mengesan pemilik kenderaan terbabit untuk dipanggil bagi membantu siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.
Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan, dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Dalam perkembangan berkaitan, MOF turut memaklumkan bahawa individu yang terlibat adalah warga Malaysia dan pemegang MyKad, sekali gus mengesahkan penyalahgunaan subsidi di bawah Program BUDI95.
“Perbuatan itu jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan,” menurut kenyataan MOF.
Sehubungan itu, MOF akan mengambil tindakan dengan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi tersebut serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati manfaat program berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan boleh menyalurkan aduan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.



