Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah akan terus menyokong keperluan anggota polis yang merupakan rakan strategik utama keselamatan dan pembangunan negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keselamatan negeri adalah asas kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan rakyat dan keyakinan pelabur.
Beliau berkata, kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), menekankan aspek keselamatan adalah pemudah cara utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta teras kepada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Malah, tanpa kestabilan sudah tentu ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan pembangunan SMJ 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan di sini pada Rabu.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.
Hajiji turut memuji inisiatif menjadikan sebuah bangunan lama di kawasan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sabah sebagai Galeri Polis Negeri Sabah.
“la bukan sekadar tempat untuk pameran semata-mata, tetapi ia adalah arkib hidup yang mengabadikan sejarah, jerih perih, dan komitmen PDRM di Sabah.
“Galeri ini juga adalah saksi perjuangan, pengorbanan, dan dedikasi warga polis dalam mengekalkan keamanan negara.
“la merupakan sebuah wadah bagi menzahirkan penghargaan atas pengorbanan, jasa dan bakti yang tidak terbalas daripada seluruh warga PDRM, baik yang masih berkhidmat mahu pun sudah bersara,” katanya.
Antaranya pameran utama di galeri tersebut adalah insiden Tanduo Lahad Datu pada tahun 2013, yang terus menjadi ingatan dan lipatan sejarah kepada rakyat di negeri ini.
“Justeru, saya menyifatkan kewujudan galeri ini amat signifikan dan bertepatan pada masanya sebagai wadah untuk memastikan pengorbanan wira-wira negara terus terpahat dalam ingatan, kerana jasa mereka merupakan benteng utama kedaulatan negara,” katanya.
Di samping itu, galeri ini akan menjadi pusat pendidikan iaitu sebagai medium rujukan sejarah untuk generasi muda agar mereka menghargai nilai keamanan yang dinikmati hari ini, katanya.
“la mendidik generasi muda dan mengingatkan kita semua akan erti keselamatan, keamanan serta disiplin tinggi yang dipegang teguh oleh pasukan polis,” katanya.
Sempena Hari Memperingati Polis Ke-219, Hajiji meminta seluruh anggota polis untuk terus meningkatkan semangat serta iltizam untuk berkhidmat dengan penuh komited demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.
“Bagi mengekalkan tahap integriti dalam perkhidmatan, saya berharap semua anggota polis akan terus berkhidmat dengan disiplin dan integriti yang tinggi.
“Jadikan paparan di galeri ini sebagai pembakar semangat untuk terus memelihara maruah pasukan,” katanya. – SABAH MEDIA



