HomeUtamaOrang Ramai Diminta Berwaspada Ketika Cuaca Panas Berpanjangan

Orang Ramai Diminta Berwaspada Ketika Cuaca Panas Berpanjangan

Read Time:1 Minute, 10 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada susulan cuaca panas yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini, dengan menasihatkan perancangan aktiviti luar dilakukan secara teliti bagi mengelakkan risiko penyakit berkaitan haba.

Dalam satu kenyataan, kementerian memaklumkan beberapa negeri termasuk Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Pahang kini mengalami suhu tinggi antara 35 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Menurut kementerian, pendedahan berpanjangan kepada suhu melampau boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, daripada keletihan dan sakit kepala hingga keadaan lebih serius seperti strok haba, dehidrasi dan koma.

“Semua individu yang terdedah kepada cuaca panas berpanjangan berisiko mengalami penyakit berkaitan haba.

“Namun, kanak-kanak, warga emas, individu yang mempunyai penyakit kronik, pekerja yang terdedah kepada haba serta mereka yang melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan panas berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi serius seperti strok haba,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti luar pada waktu puncak panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang.

Selain itu, kementerian turut mengesyorkan beberapa langkah pencegahan seperti memakai pakaian berwarna cerah dan longgar, menggunakan topi atau payung serta kerap minum air bagi mengelakkan dehidrasi.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak meninggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan berkunci serta mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mengalami simptom seperti pening, loya atau kekejangan otot.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Hisham Anip, memaklumkan fenomena cuaca panas yang melanda negara dijangka berterusan sehingga Jun ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Pulau Sebatik Terjejas, Tawau Isytihar Bencana Kemarau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular