HomeUtamaPeraturan isi petrol dalam tong, hanya dibenarkan dengan Permit Khas - KPDN

Peraturan isi petrol dalam tong, hanya dibenarkan dengan Permit Khas – KPDN

Read Time:1 Minute, 48 Second

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum mengenai isu tular di media arus perdana dan platform media sosial berhubung pengisian petrol ke dalam tong yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, penjualan bahan api seperti petrol dan diesel di stesen minyak adalah tertakluk di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961), yang menetapkan bahawa penjualan hanya dibenarkan kepada tangki asal kenderaan atau tangki yang telah diluluskan oleh agensi berkaitan.

Menurutnya, mana-mana pihak yang ingin membeli petrol atau diesel untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan, sama ada bagi tujuan persendirian atau operasi tertentu, perlu mendapatkan Permit Khas daripada KPDN di bawah peruntukan akta tersebut.

“Permit Khas ini merupakan mekanisme kawalan bagi memastikan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel tidak diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pembelian melalui Permit Khas hanya dibenarkan bagi kuantiti 20 liter dan ke atas, serta berdasarkan harga pam semasa di stesen minyak.

Permohonan permit tersebut boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permit Bekalan di pautan https://spb.kpdn.gov.my.

Azman berkata, Permit Khas ini adalah percuma dan terbuka kepada individu, syarikat atau organisasi yang memenuhi syarat kelayakan, termasuk dalam kalangan 10 kategori yang ditetapkan seperti pengusaha forklift, sektor pengangkutan air, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau, industri makanan, pertanian, penternakan, pelancongan, pembinaan berskala kecil serta kegunaan bagi tujuan kecemasan dan penyelenggaraan.

Tambah beliau, mana-mana pihak yang diluluskan Permit Khas dibenarkan menggunakan tong drum, plastik atau bekas yang sesuai untuk mengisi bahan api, tertakluk kepada syarat yang diluluskan termasuk kuantiti, lokasi stesen minyak, tempoh dan kekerapan pembelian.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa selain pemegang Permit Khas, tiada pihak lain dibenarkan membeli petrol atau diesel dalam tong di stesen minyak, kecuali bagi kes kecemasan dengan had tidak melebihi 20 liter.

Sehubungan itu, KPDN menggesa orang ramai supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan pelanggaran kepada pihak kementerian melalui saluran rasmi, iaitu WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN di https://eaduan.kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800, atau aplikasi Ez ADU KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Galeri Polis Sabah simbol pengorbanan dan warisan wira ‘sang saka biru’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular