KUDAT: Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat telah menahan sebuah bot tempatan yang dikesan memasuki perairan negara pada kedudukan kira-kira 7 batu nautika barat Tanjung Simpang Mengayau, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot berkenaan berjaya dikesan menerusi maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera dan Op Khas Pagar Laut.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut berdaftar di Malaysia, namun lesen operasinya telah tamat tempoh, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati seramai empat kru termasuk tekong berumur antara 27 hingga 50 tahun berada di atas bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua individu bersama bot berkenaan telah ditahan dan diiring ke jeti untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
Dalam pada itu, Hasbullah berkata pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 bagi membolehkan tindakan segera diambil.



