HomeUtamaSuami didakwa bunuh isteri diperintah bela diri

Suami didakwa bunuh isteri diperintah bela diri

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang lelaki yang didakwa membunuh isterinya untuk membela diri.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid membuat perintah itu terhadap Nul Sadam Jemsi, 33, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mahkamah menetapkan 24 April sebagai tarikh bela diri.

Nul didakwa membunuh seorang wanita bernama Nasfidah Japarah, 22, pada 22 Mac 2022, antara jam 10 malam hingga 11.45 malam, di sebuah bilik sewa tidak bernombor di Segama, dalam daerah Kota Kinabalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah diseksa dengan tidak kurang daripada 12 sebatan, sekiranya sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili oleh peguam Jamadi Saleh.

Pihak pendakwaan telah memanggil seramai 16 orang saksi.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Lovely Natasha Charles mewakili Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani bagi pihak pendakwaan.

Dalam kes berasingan, Mahkamah menetapkan 3 hingga 7 Ogos sebagai tarikh perbicaraan bagi dua individu yang didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 261.5 gram.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alexander Siew How Wai menetapkan tarikh itu terhadap Azirah Wilson dan Mohd Erffan Mansoor semasa kes mereka disebut untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Azirah, 22, dan Mohd Erffan, 30, kedua-duanya bekerja sendiri, didakwa bersama-sama pada 31 Oktober 2024, jam lebih kurang 3.30 petang, di bahagian tangga Blok A, Bangunan Manila Cafe, Jalan Bundusan, dalam daerah Penampang.

Azirah diwakili oleh peguam Lim Chun Yuan manakala Mohd Erffan diwakili peguam Edward Paul.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami isteri jual, miliki produk tidak berdaftar didenda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular