HomeUtamaSambutan Aidilfitri Sabah 2026 tonjol kesederhanaan dan inklusiviti

Sambutan Aidilfitri Sabah 2026 tonjol kesederhanaan dan inklusiviti

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU :  Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Negeri Sabah tahun ini menampilkan pendekatan lebih sederhana dan inklusif, dengan penekanan khusus terhadap kebajikan golongan memerlukan.

Program anjuran Kerajaan Negeri Sabah yang akan berlangsung esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu mengangkat tema “Aidilfitri Wadah Perpaduan”, sejajar usaha memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata,

Sambutan kali ini memberi tumpuan kepada penglibatan lebih ramai golongan sasaran khsusunya anak yatim dan pelajar tahfiz, dengan lebih 1,000 jemputan khas daripada kumpulan tersebut akan diraikan bersama.

Selain itu katanya, sumbangan turut akan disampaikan kepada sembilan rumah kebajikan yang melibatkan anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta individu yang memerlukan bantuan.

“Penganjuran pada tahun ini, kita turut menitikberatkan aspek perbelanjaan berhemah dalam pelaksanaan program, selaras dengan saranan kepimpinan negara agar setiap penganjuran dilakukan secara sederhana tanpa menjejaskan kemeriahan sambutan.

“Dari segi pengisian, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk persembahan artis tempatan Sabah, selain persembahan khas seni kaligrafi oleh seorang pelukis dari Republik Rakyat China yang kini berada di Kuala Lumpur,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas temu bual bersama SabahFM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Khamis. 

Arifin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkata, sebanyak 71 gerai melibatkan usahawan tempatan serta 15 hotel akan menyediakan pelbagai juadah Aidilfitri kepada pengunjung yang hadir.

“Penglibatan vendor ini secara tidak langsung dapat membantu usahawan kecil kita untuk menjana pendapatan. 

“Selain itu, ada enam agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan kementerian turut mengambil bahagian dalam penyediaan sajian bagi memastikan kepelbagaian makanan kepada tetamu,” tambahnya.

Majlis itu dijangka akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta barisan kepimpinan negeri, selain wakil agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Orang ramai khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

2,500 peserta sertai Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun ke-75 TYT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular