HomeUtamaTan Sri Andrew Sheng dilantik sebagai Penasihat Khas Ketua Menteri

Tan Sri Andrew Sheng dilantik sebagai Penasihat Khas Ketua Menteri

Read Time:58 Second

KOTA KINABALU: Tokoh perbankan Asia dan pengawal selia kewangan Tan Sri Andrew Sheng dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengumumkan pelantikan itu, Hajiji berkata pengalaman luas serta kelayakan kukuh Sheng akan menjadi aset kepada Sabah.

“Kami menantikan sumbangannya, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu Sheng di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, di sini pada Jumaat.

Warganegara Malaysia yang dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an, Sheng yang berpangkalan di Hong Kong pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi perbankan dan pelaburan di Asia dan merupakan penceramah ekonomi global yang kerap diundang.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Pengurus Kanan di Bank Dunia; dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan, Hong Kong.

Pada masa ini beliau adalah Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) dan merupakan ahli majlis penasihat antarabangsa bagi Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional China (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC).

Pada April 2013, Majalah TIME menamakan Sheng sebagai salah seorang daripada 100 orang paling berpengaruh di dunia.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Prosiding komital terhadap Shafie disebut semula 25 Mei

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular