HomeUtamaDakwaan pembalakan haram di Sook tidak tepat – JPS

Dakwaan pembalakan haram di Sook tidak tepat – JPS

Read Time:1 Minute, 21 Second

SANDAKAN  : Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) menegaskan dakwaan tular mengenai rampasan kayu balak dan jentera pembalakan bernilai puluhan juta ringgit di daerah Sook sebagai aktiviti pembalakan haram adalah tidak tepat serta mengelirukan.

Ketua Konservator Hutan Sabah, Zulkifli Suara berkata, hasil siasatan menyeluruh mendapati lokasi penyimpanan balak (stumping) di Batu 63, Jalan Nabawan–Sapulut merupakan pusat pengumpulan sementara yang diluluskan oleh jabatan berkenaan.

Beliau berkata, kayu balak terbabit adalah hasil pengeluaran daripada lesen sah Blok YK2/2023 (NFM) milik Yayasan Sabah menerusi Rakyat Berjaya Sdn. Bhd.

“Operasi pembalakan di kawasan tersebut dilaksanakan mengikut prinsip Pengurusan Hutan Berkekalan (Sustainable Forest Management) dan menggunakan kaedah Reduced Impact Logging (RIL),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua kayu balak yang ditemui telah direkodkan dalam Borang CS (Check Scaling), iaitu dokumen rasmi kerajaan bagi tujuan pengiraan serta pembayaran royalti, selain pergerakannya menggunakan Transit Pass yang sah dikeluarkan oleh pegawai JPS.

Katanya, dalam operasi sama, sebanyak 28 unit jentera pembalakan yang dirampas turut disahkan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan serta JPS dan mematuhi keperluan ditetapkan.

“Walau bagaimanapun, siasatan mendapati terdapat ketidakpatuhan dari segi pentadbiran dalam pemindahan balak, khususnya melibatkan ketiadaan tanda tukul hak milik (property hammer mark) dan tanda tukul pemeriksaan oleh jabatan.

“Kesalahan ini tidak ditakrif sebagai pembalakan haram. Pelesen telah dikenakan denda selaras dengan syarat lesen yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih, khususnya di media sosial, kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej pengurusan hutan negeri.

Menurutnya lagi, JPS akan terus komited memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan sumber hutan negeri dilindungi serta semua aktiviti pembalakan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didakwa edar 30kg dadah di KKIA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular