KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 30,000.30 gram di Mahkamah Majistret di sini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lua Wei Yuan, 36, yang dibawa ke hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, pada Jumaat.
Lua didakwa mengedar dadah tersebut pada 11 Mac tahun ini, jam 10.45 malam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 5 Mei untuk sebutan semula dan memerintahkan tertuduh untuk terus ditahan.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh mengendalikan pendakwaan manakala peguam Dominic Chew mewakili tertuduh.



