KOTA KINABALU: Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga merupakan warga asing.
Tertuduh, Azizul Jamal, 72, yang merupakan warga Filipina, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, pada Jumaat.
Azizul didakwa membunuh Joey Naberty pada 20 November 2024, antara jam 3 petang hingga 4.20 petang, di kawasan semak Kampung Balibata, Jalan Binunuk, dalam daerah Beaufort.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan 7 Mei untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan memerintahkan tertuduh untuk terus ditahan.
Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani mengendalikan pendakwaan manakala peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili tertuduh.



