HomeUtamaSistem sisa komuniti ubah landskap Kg Air Semporna

Sistem sisa komuniti ubah landskap Kg Air Semporna

Read Time:2 Minute, 32 Second

SEMPORNA: Isu pengurusan sisa pepejal yang sekian lama membelenggu perkampungan air di daerah ini kini mula menunjukkan perubahan positif menerusi pelaksanaan sistem berstruktur berasaskan komuniti.

Sisa yang dikutip dihantar ke tapak pelupusan menggunakan lori. – Foto ihsan Reef Check Malaysia

Di Kampung Sri Aman, yang majoriti kediamannya dibina di atas air, ketiadaan sistem pengurusan sisa sebelum ini menyebabkan sebahagian besar sisa harian penduduk dibuang terus ke laut.

Situasi itu bagaimanapun mula berubah melalui Program Pengurusan Sisa Semporna yang diterajui Reef Check Malaysia dengan kerjasama Etika Sdn Bhd serta sokongan Pejabat Daerah Semporna, Majlis Daerah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).

Ketua Kampung, Jal serta Penolong Pegawai Daerah (ADO) Semporna, Samsiah Sabdan merakamkan gambar kenangan bersama para peserta sempena pelancaran program itu. – Foto ihsan Reef Check Malaysia

Audit sisa dari rumah ke rumah sebelum pelaksanaan program mendapati kampung berkenaan menghasilkan kira-kira 230.31 kilogram sisa setiap hari, melibatkan 80 isi rumah dan sekitar 656 penduduk.

Kajian itu turut mendedahkan 95 peratus isi rumah tidak mempunyai tong sampah yang sesuai, manakala kebanyakan sisa dibuang terus ke laut, sekali gus menonjolkan kekangan dari segi infrastruktur dan sistem pengurusan.

Susulan itu, beberapa sesi libat urus komuniti diadakan pada Februari dan Mac lalu, melibatkan lebih 80 penduduk, bagi merangka penyelesaian yang praktikal dan sesuai dengan keadaan setempat.

Hasilnya, Jawatankuasa Pengurusan Sisa Kampung ditubuhkan dengan 10 wakil komuniti, selain 50 isi rumah bersetuju menyertai fasa perintis.

Persiapan turut melibatkan pengagihan tong sampah mengikut kategori warna, penyediaan pusat pengumpulan serta kempen kesedaran mengenai pengasingan sisa.

Sistem itu dilancarkan pada 13 Mac lalu dengan 50 isi rumah menyertai kutipan sisa berjadual sebanyak tiga kali seminggu, selain perlu mengasingkan sisa sebelum dihantar ke pusat pengumpulan.

Seorang penyelaras tempatan turut dilantik bagi mengurus operasi termasuk menimbang sisa, merekod penyertaan dan memantau tahap pengasingan menggunakan sistem log piawai.

Data awal daripada tiga sesi kutipan antara 16 hingga 25 Mac menunjukkan sisa kertas, kotak dan kain mencatat peratusan tertinggi iaitu 42.1 peratus, diikuti plastik (33.5 peratus) serta botol plastik dan kaca (21.4 peratus).

Bagaimanapun, sisa sanitari hanya mencatat 3.1 peratus, dipercayai dipengaruhi faktor stigma dan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk untuk menguruskannya secara terbuka.

Dari segi penyertaan, program itu mencatat penglibatan awal sehingga 35 isi rumah sebelum menurun sementara sepanjang sambutan Hari Raya, namun kembali meningkat selepas itu.

Pemerhatian di lapangan mendapati amalan pengasingan sisa semakin baik walaupun masih terdapat isi rumah yang sedang menyesuaikan diri, selain wujud perubahan positif seperti menyimpan sisa dan menggunakan tong komuniti sementara menunggu kutipan.

Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia Sabah, Adzmin Fatta berkata, inisiatif itu membuktikan penyelesaian berkesan perlu melibatkan sistem dan komuniti secara serentak.

“Ini bukan sekadar sistem kutipan sisa, tetapi usaha membina rasa tanggungjawab dan kebanggaan dalam komuniti.

“Apa yang berlaku di Kampung Sri Aman menunjukkan dengan sistem dan sokongan yang betul, perubahan mampu dicapai dan boleh dijadikan model di kawasan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu menyasarkan peluasan kepada semua 100 isi rumah di kampung berkenaan, sekali gus menjadi langkah penting dalam mengurangkan pencemaran marin dari peringkat sumber.

RELATED ARTICLES
Utama

Dakwaan pembalakan haram di Sook tidak tepat – JPS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular