PAPAR : Seramai 28 peserta dari hampir keseluruhan kampung di Kawang menyertai Pertandingan ‘Colour Light’ Tertutup Bahagian Kawang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pertandingan yang dianjurkan Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kawang itu merupakan acara tahunan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Kawang Azrul Ibrahim berkata, pertandingan itu merupakan antara inisiatif bagi menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri khususnya di daerah Papar.
“Bagi pihak penganjur, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta, penduduk kampung dan seluruh masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang yang memberikan kerjasama sepanjang pertandingan ini dijalankan.
“Seperti mana yang sedia maklum, di Papar khususnya di DUN Kawang ini, kemeriahan Aidilfitri diserlahkan dengan pertandingan-pertandingan seperti pertandingan bersusul dan pertandingan color light.

“Pertandingan-pertandingan ini selain untuk menyemarakkan kemerahan aidilfitri, ini juga adalah salah satu permintaan daripada masyarakat di Kawang supaya kita dapat menyambut Aidilfitri, malah Aidiladha dengan suasana meriah, disemarakkan lagi dengan pertandingan-pertandingan seumpama inilah,” katanya.
Beliau menyifatkan kemeriahan tahun ini lebih menonjol, dengan penyertaan yang bersemangat daripada seluruh komuniti.
“Hadiah pertandingan kekal menarik, dengan juara membawa pulang RM3,000, naib juara RM2,000, dan tempat ketiga RM1,500, selain hadiah sagu hati untuk semua peserta.
“Pertandingan ini bukan sahaja memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, malah menjadikan DUN Kawang sebagai antara lokasi yang unik dan berwarna-warni sempena sambutan Aidilfitri di Papar,” katanya.



