HomeUtamaPematuhan peniaga terhadap harga maksimum di Labuan baik

Pematuhan peniaga terhadap harga maksimum di Labuan baik

Read Time:1 Minute, 24 Second

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan dua siri Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) iaitu SHMMP Tahun Baharu Cina dan SHMMP Hari Raya Puasa sehingga 28 Mac lalu.

Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata SHMMP Tahun Baharu telah dilaksanakan dari 13 hingga 21 Februari 2026, sebelum diteruskan dengan SHMMP Hari Raya Puasa yang berkuat kuasa dari 14 hingga 28 Mac 2026.

“Di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, sepanjang tempoh pelaksanaan kedua-dua skim ini, sebanyak 372 pemeriksaan premis telah dijalankan, melibatkan 113 pemeriksaan semasa SHMMP Tahun Baharu Cina dan 259 pemeriksaan semasa SHMMP Hari Raya Puasa.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak empat tindakan kes telah diambil atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

“Kesalahan ini merupakan pelanggaran di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan.

Junaidah berkata walaupun terdapat pelanggaran yang direkodkan, tahap pematuhan peniaga secara keseluruhannya adalah memberangsangkan.

“Peniaga didapati mematuhi keperluan penetapan harga dengan memastikan barangan dijual tidak melebihi harga maksimum borong dan runcit yang ditetapkan, di samping memastikan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran,” katanya.

Menurut Junaidah, tiada sebarang aduan diterima sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.

“Keadaan ini membuktikan bahawa usaha advokasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa sebelum penguatkuasaan SHMMP adalah berkesan, dengan majoriti peniaga memahami serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya.

Tambahnya lagi, pematuhan terhadap harga maksimum ini juga dilihat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup pengguna, khususnya dalam membuat persiapan menghadapi musim perayaan.

“KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus memperkukuh pelaksanaan advokasi serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sektor ekonomi, pelaburan dan infrastuktur Sabah catat perkembangan positif – Tun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular