HomeUtamaKerajaan komited melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang menyeluruh

Kerajaan komited melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang menyeluruh

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tetap komited melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang menyeluruh.

“Ini termasuk penekanan kepada pengukuhan ekonomi negeri, pembangunan infrastruktur serta peningkatan kemudahan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan sebagainya, demi kesejahteraan rakyat.

“Dalam menjayakan agenda ini, anggota perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur dan berintegriti bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya di Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-75. Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah di sini pada Isnin.

Tambahnya, dengan terbentuknya Kerajaan Negeri yang baharu bagi penggal kedua pada November lalu, agenda pembangunan yang holistik berteraskan Hala Tuju SMJ 2.0 iaitu lanjutan daripada Dasar Hala Tuju SMJ 1.0, akan menjadi panduan dan landasan dalam membawa negeri ini ke mercu kejayaan.

“Kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0, memberikan kita keyakinan bahawa pendekatan pentadbiran Kerajaan sejak lima tahun lalu berada pada landasan yang tepat.

“Justeru, Pelan Pembangunan SMJ 2.0 merupakan lanjutan yang menuntut perubahan yang berterusan dalam mempertingkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir dan bekerja serta mencipta nilai baharu untuk kemajuan dan pembangunan yang berterusan,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak untuk memainkan berperanan masing-masing dalam menjunjung tinggi nilai profesionalisme, memelihara disiplin dan berpegang teguh kepada integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya yakin, bahawa pentadbiran yang berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik akan mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh daya saing ekonomi negeri serta mewujudkan persekitaran yang kondusif ke arah pembangunan yang mampan,” katanya.

Hajiji berkata segala usaha dan inisiatif murni Kerajaan hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memastikan Sabah terus bergerak maju dan mencapai pembangunan yang mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.

Ketua Menteri turut berkata bahawa beliau serta seluruh anggota pentadbiran negeri amat menghargai kepimpinan, kebijaksanaan serta naungan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, yang menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan keharmonian rakyat di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Kes tipu: Menyamar sebagai polis minta sumbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular