HomeUtamaSPM 2025 : JPNS letak sasaran kurangkan jumlah calon tidak hadir peperiksaan

SPM 2025 : JPNS letak sasaran kurangkan jumlah calon tidak hadir peperiksaan

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

RANAU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) meletakkan sasaran untuk mengurangkan jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir peperiksaan kepada dua digit pada tahun ini berbanding 699 orang calon yang direkodkan pada tahun 2025.

Pengarah JPNS Datuk Raisin Saidin berkata, sasaran itu merupakan komitmen bersama melibatkan pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD); pentadbir sekolah; guru; ibu bapa dan pelajar sendiri.

“Tahun ini 2026 dan tahun berikutnya saya meletakkan satu sasaran, tiga angka itu saya mahu kurangkan kepada dua angka. Ini bukan sasaran saya sahaja tetapi semua pihak.  Dua digit itu bermakna adalah 10 atau 11 dan paling tinggi 99.

“Kalau itu kita dapat buat, saya ingat memang ini tiada yang mustahil. Sabah ini masih banyak ruang untuk kita bantu. Ibu bapa bersedia untuk berubah. Guru pun bersedia untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Mohamad Ali di sini pada Selasa.

Raisin berkata, pada tahun ini seramai 699 orang calon SPM dilaporkan tidak hadir semua mata pelajaran berbanding dengan 905 orang pada 2024.

Katanya, sebanyak 13 punca utama dikenal pasti menjadi faktor ketidakhadiran murid menduduki peperiksaan SPM, termasuk masalah sikap, tekanan hidup serta cabaran keluarga.

“Antara faktor yang paling ketara ialah sikap murid sendiri, namun ia masih boleh ditangani melalui pelaksanaan program pembangunan sahsiah dan intervensi berfokus. Pihak sekolah optimis bahawa perubahan sikap boleh dicapai sekiranya murid terus diberi bimbingan dan sokongan.

“Walau bagaimanapun, cabaran yang lebih kompleks melibatkan murid yang terpaksa bekerja bagi membantu menyara keluarga, khususnya dalam kes perceraian ibu bapa. Situasi ini menyebabkan sebahagian murid, termasuk yang berusia sekitar 17 tahun, memikul tanggungjawab besar sehingga mengabaikan persekolahan

“Walaupun kita simpati dengan keadaan mereka, usaha membantu tidak pernah dihentikan. Antara inisiatif diambil ialah menghantar soalan peperiksaan akhir tahun kepada murid yang bekerja agar mereka masih dapat mengikuti pembelajaran,” katanya.

Menurutnya, usaha tersebut menunjukkan hasil apabila terdapat murid kembali ke sekolah untuk menduduki peperiksaan SPM, sekali gus memberi peluang kepada mereka memperoleh sijil penting itu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Permohonan tangguh perintah Mahkamah berhubung bayaran 40% diputuskan 6 April

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular