BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort menahan sebuah Mitsubishi Pajero yang didapati diubah suai dengan tangki tambahan berisi kira-kira 200 liter minyak diesel.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata penahanan dibuat dalam serbuan mengejut Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di sini, pada petang Selasa sekitar jam 6 petang.
“Susulan itu, pihak KPDN telah menyita kenderaan terbabit, minyak diesel serta dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Pemandu kenderaan telah dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis. Nozel pam stesen minyak yang terlibat turut diambil tindakan penguatkuasaan, manakala dua laporan polis telah dibuat berhubung kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, serbuan tersebut dijalankan hasil maklumat serta pemerhatian anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti mencurigakan ketika kenderaan berkenaan sedang mengisi minyak diesel di pam stesen tersebut.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan tindakan ke atas pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan dan pegawai penyiasat akan dilantik bagi melengkapkan siasatan.
Menurut beliau, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 merupakan komitmen berterusan KPDN dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya melibatkan bahan api bersubsidi.
“KPDN menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya.



