HomeUtamaOPS TIRIS 4.0: KPDN, PDRM pantau stesen minyak di pekan Beaufort

OPS TIRIS 4.0: KPDN, PDRM pantau stesen minyak di pekan Beaufort

Read Time:1 Minute, 33 Second

BEAUFORT: Stesen minyak di sekitar pekan Beaufort dipantau bagi memastikan ketelusan pembelian dan penjualan bahan api.

Pemeriksaan bersepadu itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Beaufort dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN cawangan Beaufort, Puan Julie Julhani berkata, pemeriksaan tersebut melibatkan beberapa jenama stesen minyak sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Operasi Bersepadu (Ops Tiris 4.0) bagi tahun 2026.

“Antara fokus utama pemeriksaan adalah semakan rekod penyelenggaraan stok bagi memastikan ketelusan pembelian dan penjualan bahan api.

“Selain itu, pemeriksaan turut menumpukan kepada pematuhan larangan penjualan Petrol RON95 hanya kepada warganegara Malaysia melalui sistem BUDI MADANI, pematuhan had kuantiti penjualan bahan api mengikut kategori kenderaan, serta pengenalpastian kenderaan mencurigakan yang berpotensi terlibat dalam aktiviti penyelewengan, khususnya melibatkan diesel,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua premis yang diperiksa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Julie berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa KPDN komited dalam memastikan maklumat yang tepat dan jelas dapat disampaikan kepada pengguna, di samping membendung sebarang aktiviti penyelewengan bahan api yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.

Dalam masa yang sama, PDRM memberi amaran bahawa sebarang ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas rasmi tidak akan dikompromi.

Sehubungan itu, operasi bersepadu yang lebih menyeluruh akan terus dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa dari semasa ke semasa.

Selain itu, lawatan dan pemeriksaan ini turut meningkatkan kehadiran agensi penguat kuasa di lapangan, sekali gus memperkukuh keyakinan orang awam terhadap usaha kerajaan dalam memastikan pematuhan undang-undang serta kestabilan bekalan bahan api.

KPDN Beaufort sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga.

Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran rasmi KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Segera naik taraf jalan ke Pekan Beluran – Samad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular