HomeSukanGarrido puas hati keputusan seri, akui kekangan pemain jejas prestasi

Garrido puas hati keputusan seri, akui kekangan pemain jejas prestasi

Read Time:1 Minute, 26 Second

GEORGETOWN: Ketua jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido tetap berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Penang FC dalam aksi final pertama Piala Cabaran di Stadium Bandaraya semalam meskipun berdepan pelbagai kekangan pemain.

Menurutnya, pasukan itu hanya membawa beberapa pemain yang cergas ke perlawanan tersebut, dengan sebahagian daripada mereka baru pulih daripada kecederaan.

“Kami datang dengan kekangan besar dari segi pilihan pemain, namun tetap merancang untuk menang. 

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan komitmen dan usaha yang ditunjukkan pemain,” katanya.

Beliau berkata, Sabah FC berjaya mengawal permainan seperti dirancang pada babak pertama, namun mengakui permulaan separuh masa kedua tidak memihak kepada pasukannya.

“Kami gagal mengawal tekanan pihak lawan pada awal separuh masa kedua, tetapi selepas bolos, pasukan menunjukkan reaksi positif dengan kembali menyerang dan akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan,” katanya.

Mengulas mengenai ketumpulan jentera serangan, beliau menegaskan faktor keyakinan menjadi antara penyumbang utama kegagalan memanfaatkan peluang terhidang.

“Menjaringkan gol bukan sahaja bergantung kepada kualiti, tetapi juga keyakinan. Setiap peluang yang gagal disudahkan akan memberi tekanan kepada pemain untuk cubaan seterusnya.

“Kami juga kehilangan penyerang utama sebelum ini, jadi tanggungjawab menjaringkan gol kini perlu dikongsi oleh semua pemain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kecewa dengan gol yang dilepaskan pasukannya, menyifatkannya sebagai situasi yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Gol itu berpunca daripada hantaran mudah yang tidak seharusnya menghasilkan jaringan. Kami akan menilai semula kelemahan ini,” katanya.

Mengulas aksi timbal balik di Stadium Likas, beliau berkata pasukan masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan serta mendapatkan semula pemain yang cedera.

“Kami berharap lebih ramai pemain dapat kembali cergas bagi meningkatkan daya saing pasukan sepanjang 90 minit permainan,” katanya.

Tambahnya, sikap juang tinggi yang dipamerkan pemain, termasuk mereka yang masuk sebagai pemain gantian, memberi petanda positif menjelang perlawanan kedua nanti.

RELATED ARTICLES
Sukan

KKN24 Social League 2026 platform satukan belia Tanjung Keramat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular