KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menilai semula projek-projek pembangunan di Sabah susulan kesan krisis tenaga global yang menyaksikan kenaikan mendadak harga minyak.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Kewangan Sabah, Masidi Manjun, berkata langkah itu diputuskan selepas Kabinet negeri bersetuju supaya satu penelitian menyeluruh dilakukan terhadap komitmen kewangan kerajaan, khususnya projek yang berisiko terjejas akibat peningkatan kos.
Beliau berkata, dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu, kerajaan bersetuju supaya Kementerian Kewangan menilai semua komitmen kewangan sedia ada serta mempertimbangkan keperluan intervensi bagi memastikan pelaksanaan projek tidak terjejas.
“Ketika ini, kita sedang dalam proses menilai keseluruhan komitmen kewangan kerajaan dengan mengambil kira kenaikan harga minyak yang memberi kesan langsung kepada kos pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Ranau di sini pada Sabtu.
Masidi berkata, projek infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air antara yang paling terkesan berikutan peningkatan kos bahan dan operasi, sekali gus menyebabkan nilai kontrak asal tidak lagi mencukupi untuk disiapkan.
“Jika tiada penyesuaian atau intervensi, ada risiko projek akan tergendala kerana kontraktor tidak mampu menyiapkannya berdasarkan kos asal yang dipersetujui sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Masidi berkata, walaupun kontraktor terikat dengan kontrak sedia ada, situasi semasa yang menyaksikan harga minyak meningkat secara mendadak memerlukan pendekatan lebih fleksibel bagi mengelakkan projek terbengkalai.
“Jika kita hanya berpegang kepada kontrak asal tanpa mengambil kira perubahan kos, kemungkinan besar projek tidak dapat disiapkan. Ini akan menjejaskan perancangan pembangunan kerajaan dan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, jawatankuasa diperingkat kementerian ditubuhkan bagi membuat penilaian terperinci, termasuk meneliti aspek kontrak yang mungkin memerlukan campur tangan kerajaan.
“Matlamat utama kita adalah memastikan projek dapat disiapkan. Peruntukan kewangan penting, tetapi lebih penting ialah hasilnya sampai kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan kini memberi keutamaan kepada penyelesaian projek-projek kritikal agar kemudahan asas dapat terus dinikmati rakyat tanpa gangguan. – SABAH MEDIA



