LAHAD DATU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Lahad Datu berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas kira-kira 1,000 liter minyak diesel dalam satu operasi penguatkuasaan di bawah Ops Tiris 4.0, awal pagi tadi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, Azizul Amran berkata, operasi yang bermula sekitar jam 12 tengah malam itu telah menjalankan pemeriksaan di beberapa stesen minyak sekitar daerah berkenaan.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan di sebuah stesen minyak, pihak penguat kuasa mengesan dua lelaki berusia lingkungan 20-an sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong drum yang diletakkan di atas dua kenderaan pacuan empat roda.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah bagi pengisian minyak diesel tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Susulan itu, Azizul berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam operasi sama katanya, KPDN turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda bersama minyak diesel yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM117,150.
Menurutnya, KPDN Lahad Datu akan terus mempergiat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan, termasuk penyalahgunaan diesel dan pelanggaran larangan penjualan petrol RON95.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, portal e-aduan, talian bebas tol dan aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya.



