HomeUtamaPesta Sutati 2026 perkukuh budaya, tarikan pelancong – Joachim

Pesta Sutati 2026 perkukuh budaya, tarikan pelancong – Joachim

Read Time:1 Minute, 29 Second

RANAU: Pesta Sutati (Sungai, Talantang dan Tinagas) 2026 terus memartabatkan warisan budaya etnik sambil menarik pelancong dan menyokong ekonomi komuniti setempat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata kelestarian adat dan budaya sejak turun-temurun perlu dipertahankan agar diwarisi oleh generasi muda.

“Kepelbagaian budaya merupakan satu keunikan yang perlu dipertahankan dan diraikan bersama.

“Generasi baharu khususnya anak-anak cucu dan cicit suku kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) juga perlu terus bersatu demi memastikan kelangsungan serta kemajuan bangsa kita diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Pesta Sutati di Dewan Terbuka Kelab Sukan Dan Rekreasi Ulu Sugut Ranau, Kampung Wayan, Ranau, sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut bersama Restu Mart merupakan satu usaha yang sangat baik dalam memperkasa adat dan budaya masyarakat tempatan di samping merapatkan lagi hubungan sesama komuniti.

Dr Joachim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, menekankan bahawa sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi negeri, justeru program seumpama ini perlu dipelbagaikan bagi menarik kehadiran pelancong, termasuk dari luar negara.

“Promosikan tempat-tempat menarik yang ada. Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan bantuan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah” ujarnya.

Selain itu, Dr Joachim, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, berkata usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya yang sedang dilaksanakan dijangka meningkatkan akses ke kawasan tersebut sekaligus merancakkan kehadiran pelancong.

Pesta Sutati adalah pesta yang meraihkan keunikan budaya tiga suku di Ulu Sugut, Ranau iaitu Sungai, Sungai, Talantang dan Tinagas.

Pesta Sutati yang kini memasuki edisi ketiga itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Jualan Rahmah, pertandingan makanan etnik, Anugerah Tokoh Etnik, pertandingan Sugandoi, serta pertandingan kereta lasak 4×4, yang berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Dr Joachim bersama pemimpin tempatan dan tetamu jemputan mengabadikan kenangan bersama para Tokoh Etnik sempena Pesta Sutati 2026.
RELATED ARTICLES
Utama

PIBKS Sabah perkukuh peranan, bantu kurangkan keciciran calon SPM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular