HomeUtamaDBKK galak budaya inovasi, fokus tambah baik perkhidmatan dan pengurusan sisa

DBKK galak budaya inovasi, fokus tambah baik perkhidmatan dan pengurusan sisa

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) komited memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan warga kerja serta masyarakat bagi memastikan mutu perkhidmatan dan kecekapan operasi terus meningkat selaras dengan perkembangan teknologi.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata penganjuran Anugerah Inovasi Mayor 2025 sempena Hari Inovasi DBKK bertujuan menggalakkan individu dan kumpulan untuk berinovasi serta berusaha menambah baik proses kerja.

“Antara objektif utama anugerah ini ialah menggalakkan bukan sahaja murid-murid sekolah, tetapi juga individu dan kumpulan untuk berinovasi iaitu mengambil inisiatif menambah baik proses kerja supaya lebih sistematik, cepat dan berasaskan data yang tepat,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian anugerah itu.

Sebanyak 39 penyertaan diterima tahun ini, termasuk sembilan daripada DBKK sendiri, manakala selebihnya daripada agensi dan pihak luar.

Dr. Sabin berkata inovasi tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar, sebaliknya boleh dilaksanakan dengan pendekatan kos rendah asalkan membawa penambahbaikan nyata.

“Kami cuba laksanakan penambahbaikan dengan kos paling rendah. Projek yang memerlukan dana besar, seperti inisiatif smart city, biasanya kami jalankan melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kerajaan negeri, kerajaan persekutuan atau sektor swasta,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan sikap positif terhadap inovasi berbanding jumlah penyertaan semata-mata.

“Yang penting adalah sikap untuk berinovasi. Kalau sikap ini tidak ada, kita bimbang mereka tidak berusaha memajukan diri atau jabatan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu pembuangan sampah di tepi jalan sekitar Tuaran dan kawasan berhampiran, Dr. Sabin menjelaskan tanggungjawab pengurusan bergantung kepada sempadan daerah.

“Jika kawasan itu di bawah daerah Kota Kinabalu, memang kami ada jadual tetap untuk lori DBKK memungut sampah. Tapi jika terlalu ketara, kami harap orang awam buat aduan sebab ada tempat yang bukan laluan utama kami,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar masalah berlaku kerana pembuangan dilakukan pada waktu malam.

“Kadang-kadang bila malam orang buang sampah atau ombak kuat seperti di Teluk Likas, pantai nampak kotor pada awal pagi. Bukan kami tidak bersihkan, tapi faktor masa dan keadaan itu menyebabkan kawasan kelihatan tidak diambil tindakan,” jelasnya.

Mengulas kejadian kebakaran di tapak pelupusan Kayu Madang yang berlaku dua kali kebelakangan ini, Dr. Sabin berkata DBKK telah menempatkan penguat kuasa di kawasan berkenaan.

“Kawasan itu luas dan kini musim kemarau. Mungkin api berpunca daripada suhu panas atau bahan mudah terbakar, tapi kami juga tidak menolak kemungkinan sabotaj sebab ada skavenger yang ambil logam selepas tayar terbakar,” katanya.

Beliau menambah DBKK kini sedang meneliti beberapa cadangan daripada pihak swasta bagi menambah baik sistem pengurusan sisa di kawasan berkenaan.

“Kami sudah menerima beberapa proposal syarikat untuk memperbaiki kaedah pengurusan pembuangan sampah di Kayu Madang agar lebih efisien pada masa akan datang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada Sekatan MYKAD bagi Budi95 Selagi Patuh Undang-Undang – JPN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular