KOTA KINABALU: Komuniti Google Educator Group (GEG) Sabah terus memainkan peranan penting dalam memperkasa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam sistem pendidikan negeri ini, seiring perkembangan pesat dunia digital.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, penekanan diberikan terhadap kepentingan AI sebagai keperluan dalam pendidikan masa kini, bukan lagi sekadar pilihan.
“Perkembangan ekonomi digital serta inisiatif seperti AI untuk rakyat telah meletakkan Malaysia di landasan tepat sebagai hab teknologi serantau.

“Dalam konteks ini, GEG Sabah bukan sekadar komuniti, tetapi menjadi tulang belakang kepada transformasi pendidikan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena program “Raya Bersama GEG Sabah” yang diadakan secara dalam talian di sini baru-baru ini.
Arif berkata, semangat kebersamaan dalam kalangan pendidik tetap utuh meskipun dilaksanakan secara maya, sekali gus membuktikan bahawa jarak bukan penghalang untuk terus memperkukuh jaringan komuniti pendidikan.
Menurutnya, peranan pendidik dalam mengintegrasikan teknologi AI di dalam bilik darjah amat penting bagi memastikan murid lebih kompetitif di peringkat global.
Penggunaan AI, katanya, mampu membantu guru mengurus tugasan dengan lebih efisien, selain menyediakan pembelajaran lebih bersifat peribadi serta membuka ruang kreativiti tanpa batas melalui pelbagai alat digital.
Dalam pada itu, beliau berharap program seperti “Raya Bersama GEG Sabah” dapat diteruskan pada masa hadapan kerana impaknya terhadap komuniti pendidikan di seluruh Sabah, termasuk kawasan pedalaman, amat signifikan.
“Kita sedang membina ekosistem pendidikan digital yang membolehkan ilmu dikongsi tanpa sempadan, dari Beluran hingga ke Tawau,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk wakil Google, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah serta rakan komuniti dari Sarawak yang menyertai program tersebut.
“Tahniah kepada pihak penganjur GEG Sabah terutamanya Ts.Jebat Leader GEG Sabah. Semoga usaha kecil kita pada kali in menjadi amal jariah yang besar impaknya kepada kualiti pendidikan digital negara.
“Saya juga ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan kata-kata semangat kepada GEG Sabah. Diharapkan pada masa hadapan PIBKS Sabah dapat berkolaborasi dengan GEG Sabah,”katanya.



