PUTRAJAYA: Tiada sebarang sekatan dikenakan ke atas penggunaan MyKad bagi individu yang terlibat dengan program atau inisiatif BUDI95, selagi mereka mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dalam satu kenyataan media hari ini, JPN menjelaskan bahawa sebarang dakwaan berkaitan sekatan MyKad adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai.
Pihak jabatan turut menasihatkan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kebimbangan awam.
Menurut JPN, MyKad kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia dan penggunaannya tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.
“Tiada tindakan sekatan akan dikenakan hanya berdasarkan penglibatan dalam BUDI95, melainkan berlaku pelanggaran undang-undang.
“Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi JPN serta agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan salah faham, katanya.
Kenyataan media itu dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat JPN sebagai rujukan dan panduan kepada semua pihak.
Sebelum ini tular di media mengenai larangan penggunaan MyKad individu lain bagi tujuan mendapatkan subsidi petrol yang dihadkan kepasa 200 liter berikutan krisis dunia yang membabitkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias dipetik sebagai berkata MyKad merupakan dokumen pengenalan diri rasmi yang tidak boleh dimiliki atau diwakili oleh sesiapa pun selain pemiliknya yang sah.
Dia dipetik dalam satu kenyataan yang menyebut bahawa larangan itu selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang menyatakan bahawa penggunaan atau pemilikan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.



