Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh langkah bagi memastikan nama baik serta reputasi institusi itu tidak tercemar susulan isu penyalahgunaan logo universiti oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pihak universiti memandang serius sebarang percubaan mengaitkan UMS dengan isu sensitif termasuk politik.
Beliau berkata, institusi itu berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang bebas daripada sebarang kepentingan luar.
“Penggunaan logo UMS tanpa kebenaran, lebih-lebih lagi bagi tujuan membawa naratif tertentu, adalah satu kesalahan yang tidak boleh dipandang ringan.
“UMS tidak mahu dikaitkan dengan sebarang isu yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. Kita kekal sebagai institusi pendidikan yang neutral dan berteraskan ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sabah Media di sini pada Ahad.
Kasim berkata, tindakan pihak tertentu menggunakan logo universiti untuk menyampaikan mesej tertentu boleh memberi gambaran seolah-olah ia mewakili pendirian rasmi institusi, sekali gus menjejaskan kepercayaan awam.
Sehubungan itu katanya, UMS kini sedang meneliti langkah perundangan yang boleh diambil terhadap pihak terlibat mengikut peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Katanya, perkara itu telah dirujuk kepada bahagian perundangan universiti dan proses tindakan sedang berjalan sebelum sebarang langkah lanjut diambil.
“UMS tidak akan berdiam diri. Kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi memastikan nama baik universiti terus terpelihara,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk pelajar agar lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan identiti universiti bagi tujuan yang boleh mencetuskan salah faham atau ketidakharmonian dalam masyarakat.
Langkah tegas itu, katanya, penting bagi memastikan UMS kekal dihormati sebagai institusi pendidikan tinggi yang berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur yang boleh mencemarkan reputasinya. – SABAH MEDIA



