Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 16 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh berusia 45 tahun itu apabila dia menukar pengakuan kepada bersalah selepas seorang saksi dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara lapan tahun dan satu sebatan kerana melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di ruang tamu sebuah rumah di Penampang pada pertengahan Julai 2023, sekitar jam 9 malam.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman sama iaitu lapan tahun penjara dan satu sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dapur rumah yang sama pada pertengahan Jun 2024 antara jam 6 petang-7 malam.
Mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian pertama dan 14 tahun ketika kejadian kedua. Mangsa kini berusia 15 tahun.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu dijalani secara berasingan dan Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya.
Tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, lelaki tempatan yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman yang ringan dengan alasan bahawa dia mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir, meminta hukuman berat sebagai pengajaran memandangkan tertuduh telah melakukan kesalahan seksual terhadap anak tiri yang sepatutnya dilindungi olehnya.
Fazriel menyatakan bahawa kesalahan itu bukan perbuatan terpencil, tetapi melibatkan dua tindakan berasingan, menunjukkan corak tingkah laku dan eksploitasi berterusan terhadap mangsa.



