HomeUtamaCuaca Panas : Bekalan air stabil, rakyat dinasihat guna secara berhemah

Cuaca Panas : Bekalan air stabil, rakyat dinasihat guna secara berhemah

Read Time:1 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU : Bekalan air di negeri ini masih berada pada tahap stabil meskipun cuaca panas yang melanda negara, namun orang ramai dinasihat agar terus mengamalkan penggunaan air secara berhemah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan risiko kemarau berpanjangan.  

“Kita masih mempunyai bekalan yang mencukupi buat masa ini. Namun, orang ramai perlu menggunakan air secara bijak dan mengelakkan pembaziran bagi memastikan bekalan ini dapat bertahan sekiranya keadaan menjadi lebih mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke HQE 1 di sini pada Selasa.

Hadir sama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki dan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Rina Jainal.

Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti turut berharap agar keadaan cuaca akan bertambah baik dalam masa terdekat.

“Walaupun hujan masih turun pada waktu petang dan malam, tempohnya singkat dan tidak mencukupi untuk meningkatkan paras sumber air secara signifikan,” katanya.

Mengulas mengenai jangka masa bekalan air mampu bertahan, beliau berkata perkara itu bergantung kepada penilaian teknikal pihak berkaitan.

“Saya dimaklumkan oleh pengarah Jabatan Air Negeri Sabah bahawa bekalan air mungkin boleh bertahan sekurang-kurangnya dua bulan, namun perkara ini masih perlu dipantau dari semasa ke semasa,” jelasnya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

UMS anjur wacana hubungan antarabangsa bersama duta Romania

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular