HomeUtamaKajian tangani isu kesesakan lalu lintas di HQE 1 dipercepat - Joachim

Kajian tangani isu kesesakan lalu lintas di HQE 1 dipercepat – Joachim

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan mempercepatkan kajian bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di kawasan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), yang semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk menjalankan kajian terperinci terhadap keadaan trafik di kawasan hospital berkenaan.

Joachim Gunsalam

Beliau berkata, kajian tersebut bukan sahaja melibatkan aliran kenderaan semasa, tetapi turut mengambil kira pelan induk trafik sedia ada serta pembangunan sekitar yang semakin pesat.

“Saya telah meminta JKR untuk meneliti keseluruhan sistem jalan raya di kawasan ini, termasuk kesesuaian pelaksanaan cadangan baharu seperti sistem trafik sehala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke HQE 1 di sini pada Selasa.

Hadir sama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki dan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Rina Jainal.

Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkarta, laporan awal kajian perlu disiapkan dalam tempoh satu bulan bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.

“Kita tidak mahu perkara ini berlarutan. Dalam masa sebulan, laporan mesti disediakan supaya kita boleh menentukan langkah seterusnya termasuk pelaksanaan dan keperluan bajet,” katanya.

Tambah beliau, hasil kajian itu kelak akan menjadi asas kepada perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan di kawasan hospital tersebut.

Dalam pada itu, Joachim menegaskan bahawa sebarang penyelesaian yang dirancang perlu mengambil kira keperluan pesakit, petugas kesihatan serta pelawat hospital.

“Kesesakan bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna jalan raya, tetapi juga kepada pesakit yang memerlukan rawatan segera. Ini perkara yang perlu kita tangani dengan serius,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan sebarang cadangan akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam perkembangan berkaitan, Joachim berkata, sebuah bangunan hospital tambahan juga dirancang untuk dibina di kawasan HQE.

Menurutnya, bangunan baharu itu dijangka mempunyai kapasiti kira-kira 400 katil, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan pesakit serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan di negeri ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

UMS anjur wacana hubungan antarabangsa bersama duta Romania

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular