HomeUtamaJangan takut cuba bidang baharu - Masidi

Jangan takut cuba bidang baharu – Masidi

Read Time:1 Minute, 45 Second

KUNDASANG: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dinasihat agar berani membuat pilihan kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, golongan muda perlu mempunyai keyakinan diri untuk melangkah ke fasa baharu kehidupan sama ada melanjutkan pengajian ke kolej, universiti atau institut latihan kemahiran.

“Keberanian membuat keputusan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah. Jangan takut untuk mencuba bidang baharu selagi ia memberi manfaat dan selari dengan potensi diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi & Tamat Pengajian Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau, di sini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, peralihan daripada alam persekolahan ke dunia pengajian tinggi atau pekerjaan memerlukan kesediaan mental dan emosi yang tinggi, selain sikap terbuka untuk belajar perkara baharu.

Beliau turut menggalakkan lepasan sekolah supaya berani berdikari, termasuk mengurus kehidupan sendiri serta membuat keputusan secara matang demi kebaikan masa depan.

“Keupayaan berdikari akan membentuk jati diri yang kuat, sekali gus membantu anda menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih yakin dan berdaya saing,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengajak golongan lepasan sekolah mempertimbangkan bidang pertanian sebagai pilihan kerjaya, memandangkan sektor itu kini menjadi antara industri penting yang menyumbang kepada ekonomi serta makanan.

Katanya, industri pertanian masa kini tidak lagi terhad kepada kaedah tradisional, sebaliknya berkembang dengan penggunaan teknologi moden dan inovasi yang mampu menjana pendapatan lumayan.

“Pertanian adalah bidang yang mempunyai potensi besar. Dengan pendekatan moden dan kreativiti, ia mampu menjadi sumber rezeki yang stabil serta membuka peluang keusahawanan kepada golongan muda,” katanya.

Beliau menambah, penglibatan generasi muda dalam sektor tersebut amat penting bagi memastikan kelangsungan industri serta meningkatkan daya saing negara pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Masidi turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka dalam mendidik pelajar, khususnya guru-guru Tingkatan Enam.

Menurutnya, sumbangan itu diharapkan dapat membantu meningkatkan kemudahan serta menyokong usaha pihak sekolah dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan berdaya saing.

Dalam majlis tersebut, seramai 108 pelajar menerima sijil tamat pengajian Tingkatan Enam bagi Semester 3 sesi 2025 di sekolah berkenaan.- SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Utama

RM32.31 juta perkukuh pendigitalan Sabah, pacu ekonomi inklusif

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular